Namie Nasihat Pemengaruh Kongsi Kandungan Bermanfaat Di Media Sosial

Penghibur Namie atau nama sebenar Najmi Shahruddin ingatkan pemengaruh agar sentiasa kongsikan kandungan yang bermanfaat di media sosial.

Jelasnya, ia amat penting kerana setiap kandungan yang ingin diketengahkan mencerminkan peribadi individu tersebut.

namie nasihat pemengaruh kongsi kandungan bermanfaat di media sosial

“Ini pendapat saya, kalau boleh silalah kongsi perkara yang bermanfaat di media sosial.

“Jika pemengaruh kongsikan benda-benda yang tidak bermanfaat, ia akan cetuskan kemarahan dan perbalahan.

“Jadi elakkan kandungan yang tidak elok atau kandungan berbaur kontroversi kerana ia sangat tidak harmoni,” kata Namie ditemui dalam Majlis Sidang Media Ubi Superstar Live di Ibu negara.

Dalam pada itu, Namie juga memahami segelintir pemengaruh gemar kongsikan kandungan yang panas kerana ingin cepat dikenali dalam media sosial.

“Bagi saya mudah, jika pemengaruh itu gemar kongsikan kandungan yang cetuskan kontroversi, itu adalah hak mereka.

“Tetapi jika ia di luar kawalan, mereka harus tahu cara untuk menanganinya kerana kesan yang diterima itu boleh mengganggu perjalanan kehidupannya. 

“Apa-apa pun berpada-padalah dan beringat sebelum membuat segala tindakan,” ujarnya.

Namie muncul dengan program baharu, Ubi Superstar Live bersama dengan Fad, Sharif, Ajak dan Shuib.

Ia akan mula bersiaran pada 23 Februari ini pukul 9 malam di saluran Astro Warna.

 

Oleh: Syahdeen