Nadeera Dipilih Nyanyikan Lagu ‘Astana’ di Pentas Semi Final Muzik-Muzik ke-38

Ketiadaan penyanyi asal lagu “Astana” di separuh akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM) telah menimbulkan banyak spekulasi dan persoalan dalam kalangan peminat muzik tanah air.

 

Pihak Rocketfuel Entertainment terlebih dahulu mengucapkan ribuan ucapan terima kasih dan menghormati sedalam-dalamnya harapan dan juga sokongan setiap peminat yang telah berusaha keras dalam memastikan lagu ‘Astana’ mara ke SFMM38.

 

Untuk info, pencalonan lagu “Astana” bagi program Muzik Muzik berlaku pada bulan Februari 2023 semasa penyanyi asal masih lagi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

 

Pihak Rocketfuel Entertainment menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi asal lagu ‘Astana’ untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38.

 

Untuk rekod, dua artis lain iaitu Amira Othman dan juga Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment telah bersetuju untuk membawa lagu nyanyian mereka di pentas SFMM38.

 

Malah, pihak Rocketfuel Entertainment juga ⁠sentiasa bersedia dan bersifat terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan mana-mana pihak yang sudi untuk bersama membolehkan penyanyi asal membawa hasil karya mereka di pentas SFMM38.

 

Bagi menghormati acara berprestij seperti SFMM38, pihak Rocketfuel Entertainment telah berusaha mencari pengganti yang sesuai untuk menyanyikan lagu ‘Astana’ dan penyanyi Nadeera yang juga juara program Big Stage terbaru tahun ini telah dipilih setelah pelbagai perbincangan yang dilakukan bagi meneruskan pertandingan ini.

 

 

Pihak Rocketfuel Entertainment yakin dan pasti dengan pemilihan ini kerana Nadeera merupakan calon yang amat sesuai untuk membawakan lagu ‘Astana’ dan memastikan lagu ini dinyanyikan dengan seadilnya.

 

 

Sekali lagi, pihak Rocketfuel Entertainment sangat berterima kasih dan menghargai segala usaha para peminat lagu ‘Astana’ yang tidak henti-henti menyokong sejak terlancarnya lagu ini lantas berjaya dan layak ke pentas SFMM38.

 

 

Sumber: Kenyataan Media Rocketfuel Entertainment