Penyanyi popular, Nabila Razali, 29, berkongsi yang dia terpaksa menahan selera daripada menikmati sebarang makan pedas bagi menjaga kesihatan kotak suaranya.
Nabila juga berkata dia perlu patuh nasihat doktor memberi saranan supaya tidak aktif menyanyi untuk sementara waktu sehingga pulih sepenuhnya.
“Saya belum sepenuhnya pulih. Tetapi, bagi mereka yang kenal, tentu tahu saya ini bukan jenis yang boleh duduk diam. Sesekali, saya akan ambil beberapa tawaran persembahan untuk berlatih menyanyi.
“Namun, tidaklah sehingga aktif menyanyi dari satu ke satu acara seperti sebelum ini. Berpantang makanan pun masih saya buat. Saya ini suka makan pedas.
“Tetapi, apabila sudah jadi begini, kenalah pantang sikit. Dulu, sambal saya ‘belasah’ makan banyak, 80 biji cili pun boleh lagi.
“Sekarang memang kena kurangkan. Semuanya demi nak sihat cepat,” kata Nabila.
Dalam pada itu, Nabila turut mendedahkan dia kini dalam proses menghasilkan single baru selepas kemunculan terakhir menerusi single balada, “Putus” pada tahun lalu.
Namun, tambahnya, proses rakaman itu dijalankan tanpa sebarang tekanan susulan dia perlu menjaga suaranya dengan sehabis baik.
“Apa pun, saya bersyukur masih boleh buat persembahan dan menyanyi. Inilah kehidupan anak seni, masih kena teruskan bekerja dan hasilkan karya buat peminat,” ujarnya.
Sumber: Utusan