Penyanyi, Nabila Razali akui masih trauma dengan insiden ‘terkucil’ sewaktu menyanyikan lagu Peluang Kedua secara langsung pada sebuah pertandingan nyanyian pada tahun 2021 lalu.
Bagaimanapun menurut Nabila, beliau enggan lagi mengulangi kesilapan itu dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik pada sebuah pertandingan nyanyian yang sama yang akan diadakan pada Mac tahun hadapan.
“Bohonglah kalau saya kata tidak ada rasa trauma. Perasaan itu ada. Cuma saya ketepikan perasaan itu dan ingin memberi fokus untuk persembahan nanti.
“Apa yang telah berlaku, biarkan berlalu. Sekarang ini adalah masa untuk saya fokus dengan lagu Selagi Ku Ada,” kata beliau.
Menurut penyanyi yang selesa dengan panggilan Bella, beliau akan membuat persembahan pada pertandingan itu nanti bersama rakan artis, Khai Bahar.
Katanya, kehadiran Khai Bahar sedikit sebanyak boleh menaikkan semangatnya untuk menyanyi, sekaligus membolehkan beliau melakukan persembahan yang terbaik.
“Alhamdulillah, dengan adanya Khai, itu menjadi satu kelebihan dan memberi keyakinan kepada saya untuk tampil dengan persembahan terbaik.
“Berbanding ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua lalu, saya sendirian di atas pentas. Tapi kali ini saya berduet,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!