Pelakon, Mira Filzah berkata beliau berasa teruja untuk kembali aktif dalam bidang lakonan bermula tahun hadapan, selain terbuka menerima apa jua watak yang bersesuaian dengannya.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, beliau sudah mula menerima beberapa tawaran namun ada beberapa faktor perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
Ujarnya, meskipun kini sudah berstatus isteri dan ibu, ia tidak mengubah apa-apa kerana beliau masih terbuka untuk menerima apa jua watak. Namun jelasnya, tawaran itu akan diteliti terlebih dahulu seperti lokasi dan jumlah penggambaran dibuat.
"Itu semua antara yang saya titik beratkan dan hanya selepas itu saya akan buat keputusan. Insya-Allah tahun depan jika ada watak yang sesuai, saya akan mula berlakon semula.
"Tawaran memang ada diterima, malah lepas pantang lagi saya dah dapat. Saya memang rindu berlakon tapi sebab sekarang dah ada anak, saya akan tengok waktu yang paling sesuai,” kata ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini berusia tujuh bulan.
Tambah Mira Filzah lagi, anak dan keluarga adalah keutamaannya, meskipun sekarang beliau sudah mempunyai pembantu yang boleh menguruskan urusan anak sebelum beliau kembali berlakon kelak.
Sumber: HMetro