Pelakon popular, Mira Filzah mengakui sukar untuk membina kepercayaan dengan orang baharu untuk mengambil alih tugas menjaga anak kesayangannya.
Menerusi satu hantaran, Mira akui terkesan apabila pembantu rumahnya perlu pulang ke kampung untuk beberapa bulan atas urusan kecemasan.
“Bukan tidak mahu panggil pengasuh datang setiap hari, tetapi susah untuk membina kepercayaan terhadap orang.
“Meskipun baru bekerja selama lima bulan, saya sudah percaya pembantu rumah itu. Tiba-tiba sahaja dia perlu pulang.
“Dia sangat bagus alhamdulillah. Namun, Allah tahu yang terbaik. Insya-Allah ada hikmah lain,” tulisnya.
Disebabkan itu, beliau kini menguruskan anaknya sendirian memandangkan sementara masih tiada tugasan buat masa ini. Beliau juga meluahkan rasa kagum dengan suri rumah sepenuh masa yang menguruskan anak-anak secara sendirian di rumah tanpa ada pembantu.
“Sejak kebelakangan ini, saya kurang mengemaskini sebab pembantu rumah sudah balik dua minggu lepas atas urusan kecemasan selama lebih kurang dua bulan.
“Amir ada dengan mama (gelaran dirinya) 24 jam kerana tiada sebarang majlis dan penggambaran.
“Saya tidak tahu bagaimana ibu lain boleh melakukan, tetapi masya-Allah hebatnya mereka jaga anak sendiri tanpa pembantu,” ujar pelakon berusia 29 tahun itu.
Mira juga berharap dapat berjumpa dengan pembantu rumah yang sesuai untuk menjaga anaknya sementara beliau perlu keluar bekerja.
“Susah hati untuk bekerja selagi tidak jumpa pengganti untuk pembantu yang baik dan boleh jaga Amir dan sayangnya seperti anak sendiri.
“Semoga Allah temukan kita dengan orang baik okey, Amir? Semoga Allah bagi Amir pembantu baik, bertanggungjawab, sayang dan paling penting jujur serta ikhlas untuk bekerja,” kata Mira lagi.
Sumber: IG Story Mira Filzah