Mesej Dakwa Pesakit COVID-19 Yang Mati Hidup Semula Adalah Berita Palsu

Baru-baru ini, telah tular satu mesej kononnya seorang pesakit COVID-19 yang disahkan meninggal dunia telah hidup semula sejurus tiba di lokasi pengebumian.

mesej dakwa pesakit covid-19 yang mati hidup semula adalah berita palsu

Dakwaan itu dinafikan kesahihannya oleh Hospital Kuala Lumpur dengan kenyataan oleh Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang menjelaskan bahawa tiada kejadian seperti itu berlaku malam tadi.

 

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai mesej itu dan berhenti daripada menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan itu.

 

Berita tidak benar itu mendakwa seorang pesakit COVID-19 yang disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), didapati masih hidup semasa di lokasi pengebumian dan seterusnya dibawa kembali ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

 

Berita tidak benar ini jelas mempunyai niat tidak baik bagi menakutkan orang ramai dan juga menjatuhkan reputasi pihak hospital secara keseluruhannya. Justeru orang ramai diingatkan untuk tidak berkongsi kisah, cerita atau berita yang tidak ditentusahkan kesahihannya kepada orang lain meskipun dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

 

Sumber: HMetro