Rentas Negeri Tidak Termasuk Dalam Senarai Pengurangan SOP

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kebenaran merentas negeri adalah tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

rentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan sop

Jelas beliau, keputusan kebenaran merentas negeri perlulah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

 

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa PPN negeri-negeri yang berkenaan.

“Namun syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Satu mesyuarat akan diadakan hari ini (21 Ogos) dengan agenda utama memfokuskan terhadap usaha mempermudahkan 181 prosedur operasi standard (SOP) kepada 10 SOP sahaja.

 

Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 itu juga akan menjemput dua menteri iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

 

Sumber: [1]