Isteri Menggigil, Menangis Lihat Video Suami Nyaris Dihempap Lori Simen

Bagaikan terhenti sekejap nafas bila melihat kepada rakaman video seorang penunggang motosikal yang nyaris maut dihempap sebuah lori simen yang dipercayai terbabas dalam satu kejadian di Shah Alam, baru-baru ini.

isteri menggigil, menangis lihat video suami nyaris dihempap lori simen

Dalam kejadian yang berlaku pada 9.33 pagi, penunggang motosikal itu bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

 

Video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial jelas menunjukkan sebuah lori simen hilang kawalan sebelum masuk ke arah jalan bertentangan dan terbalik lalu menghempap sebuah motosikal.

 

Video kemalangan itu dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook yang dipercayai isteri mangsa, dikenali sebagai Noor Nazrah.

 

"Allahuakbar menggigil satu badan dapat video ini, menangis depan suami… teresak-esak cakap Allah sayang kita.. Allah bagi peluang pada kita.

"Yang bawa motosikal itu (merujuk video tular) suami saya, Alhamdulillah Allah Maha Baik, Allah bagi peluang pada kami semua..lemah semangat tengok video ini... terus panas badan macam nak demam," luahnya dalam hantaran di Facebook itu.

 

Sementara itu pihak polis daerah Shah Alam sudah menerima laporan mengenai kemalangan itu pada pagi hari kejadian. Kedua-dua mangsa hanya cedera ringan dan menerima rawatan di hospital terdekat.

Sumber: HMetro / Facebook