Terbuka Menerima Kritikan Selepas Menang Anugerah Vokal Terbaik, Ini Jawapan Ernie Zakri

terbuka menerima kritikan selepas menang anugerah vokal terbaik, ini jawapan ernie zakri

Penyanyi Ernie Zakri akui terbuka menerima kritikan jika terdapat pihak merasakan dia tidak layak untuk menerima trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 23.

Katanya, dia sering membaca coretan serta luahan peminat di media sosial berkaitan karier nyanyiannya.

“Saya hormati dengan kritikan atau teguran yang ditulis di media sosial berkaitan persembahan serta mutu nyanyian saya.

“Bagi saya, ada yang suka ada yang tidak ia adalah perkara normal.

“Muzik ini satu bidang yang sangat luas dan saya tidak akan berada di situ untuk memikirkan apa yang orang komen.

“Raih anugerah di AIM23 merupakan satu tanggungjawab yang besar dan juga cabaran untuk saya untuk lebih kreatif di persembahan nyanyian di masa-masa akan datang,” katanya kepada portal SYOK.

Tambah Ernie, selepas tercalon Top 5 bagi pelbagai kategori di Anugerah Industri Muzik 23 baru-baru ia adalah saat-saat yang dinanti-nantikan sebagai seorang penyanyi.

“Daripada saya kecil lagi saya dah sasar untuk memasuki pencalonan AIM kerana ia amat bermakna dan berprestij untuk seorang penyanyi.

“Apa-apa pun, trofi yang diraih di AIM23 ini akan menjadi satu penyuntik semangat agar terus berkarya dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Ernie Zakri raih trofi untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik bagi lagunya berjudul Goodbye Hello.

 

Oleh: Syahdeen