Penyanyi dangdut popular, Mas Idayu mengesahkan dirinya bakal melangsungkan pernikahan bersama pasangan pilihan, Muhamad Sufian Isa, pada 16 September ini.
“Diikutkan, majlis pernikahan kami sepatutnya berlangsung pada Mei lalu, tetapi ia seperti terlalu awal untuk membuat persiapan.
“Jadi, Sufian pilih 16 September ini sebagai tarikh kami disatukan. Selepas berbincang, kami bersetuju memilih tarikh itu,” katanya.
Kongsi penyanyi yang popular menerusi lagu “Senggol Senggolan, Cubit Cubitan” itu, dia dan suami merancang untuk berbulan madu selama dua minggu selepas majlis pernikahan mereka nanti. Namun, mereka masih belum memutuskan destinasi percutian yang ingin dituju.
Selain itu, Mas Idayu juga meluahkan syukur apabila banyak pihak sudi menaja hari bahagianya bersama pasangan itu.
“Saya tidak menyangka kos perkahwinan kami mencecah sehingga RM7 juta dan tajaan itu termasuk lokasi perkahwinan, set barang kemas, persalinan, katering dan fotografi.
“Alhamdulillah. Sebenarnya, saya tidak terlalu fikir sangat tentang kos keseluruhan, sebaliknya lebih memfokuskan kehidupan selepas bernikah.
“Kali terakhir saya bergelar isteri sekitar 16 tahun lalu. Jadi, perasaan itu lain sikit. Saya harap perkahwinan kedua ini membawa kebahagiaan yang berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Aman Graseka pada 1997.
Perkahwinan mereka bagaimanapun hanya bertahan selama sembilan tahun.
Bekas pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.
Sumber: Utusan