Tanah Runtuh: Mangsa ke-26 Ditemui Berpelukan Dengan Anjing Peliharaannya

Mayat lelaki dewasa yang juga mangsa ke-26 ditemui pada Rabu dalam keadaan berpelukan dengan seekor anjing peliharaannya.

tanah runtuh: mangsa ke-26 ditemui berpelukan dengan anjing peliharaannya

Menurut pihak berkuasa, mayat berkenaan ditemui pada sektor B, bersama seekor anjing yang telah mati. Dalam operasi pencarian itu turut menemui seekor lagi anjing dipercayai milik mangsa.

 

"Kita telah jumpa satu mayat di Sektor B, jadi mayat ini kita kenal pasti sebagai satu lelaki dewasa, namun umur tak boleh dianggarkan lagi.

"Setakat ini, mayat telah dibawa keluar dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Untuk makluman, bersama dengan mayat ada dua ekor anjing, telah dikeluarkan juga oleh anggota penyelamat dan diserahkan anjing tersebut kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.

 

Ekoran penemuan itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor percaya lebih banyak mangsa hilang akan ditemui dalam masa terdekat.

 

Siasatan awal mendapati mangsa berkhemah di sektor A, namun dibawa arus sehingga ke sektor B tempat mangsa ditemui.

 

Sumber: Astro AWANI