Negara hari ini (18 Dec) dikejutkan dengan berita pemergian lagenda, Datuk M. Daud Kilau, pada jam 4.46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak.
Menurut laporan portal tempatan, berita itu disahkan anak lelakinya, Ahmad Zaini Mohd Daud, yang memaklumkan keadaan kesihatan bapanya sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.
Ujarnya, Allahyarham bapanya itu mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi dan juga jantung dan dimasukkan ke hospital disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak stabil.
“Sejak tiga hari lalu, keadaannya semakin teruk dan asyik meracau. Masalah kencing manis juga semakin merebak,” kata beliau.
Tambah Zaini, doktor sepatutnya melakukan prosedur pemotongan kedua-dua kaki namun tidak dapat dilakukan kerana tekanan darah tidak stabil.
“Sepatutnya hari ini (Isnin), nak potong kedua-dua belah kaki sebab diabetes. Tapi bila doktor bius periksa, ia tidak boleh dilakukan sebab tekanan darah tak stabil.
“Ini kali ketiga pembedahan ditangguhkan sebab masalah sama,” ujar beliau.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak, selepas solat Zohor pada Selasa (19 Dec).
Al-Fatihah.
Sumber: Mstar / Utusan / Astro AWANI