‘Boleh Datang Rumah Untuk Lawat Nanti’ - M. Daud Kilau Pohon Doa Untuk Pulih Semula

Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau memohon doa para peminat agar dia akan kembali pulih seperti sedia kala.

‘boleh datang rumah untuk lawat nanti’ - m. daud kilau pohon doa untuk pulih semula

M. Daud Kilau yang juga dikenali dengan gelaran popular, Raja Gelek dilaporkan bergantung pada bantuan alat pernafasan susulan dirinya masih berada dalam keadaan lemah di Hospital Teluk Intan.

“Harap para peminat dapat mendoakan saya agar pulih semula seperti sebelum ini. Sesiapa yang nak melawat, bolehlah datang ke rumah lepas saya pulang nanti,” ujarnya.

Tambahnya, dia kini hanya bergantung pada susu yang disalurkan menerusi hidungnya bagi mengisi perut.

Dia turut meluah rasa rindu terhadap masakan isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 62.

“Saya rasa lapar sangat. Biasanya di rumah isteri sediakan sarapan dan makanan tengah hari tetapi kini hanya bergantung kepada susu sahaja serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” ujarnya.

Dalam pada itu, cucu perempuan kepada pelantun lagu “Cek Mek Molek” itu turut berkongsi mengenai perkembangan datuknya.

Menurut Norhasliyana Hassan, 32, datuknya kini berada dalam keadaan stabil dan telah mula bercakap.

“Kadar oksigen juga semakin pula, malah air dalam paru-parunya juga telah berkurangan. Keadaan itu membolehkan dia minum tanpa menggunakan tiub lagi.

“Dia juga tidak sesak nafas. Kami semua gembira dengan perkembangan itu kerana dia akan dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi,” katanya.

Jelas Norhasliyana, ini merupakan kali keempat datuknya dimasukkan ke hospital.

Terdahulu, M. Daud Kilau pernah menerima rawatan di Hospital Selayang kerana kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

Ayuh, kita doakan supaya Datuk M. Daud Kilau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang sihat walafiat sentiasa.

 

Sumber: Kosmo - [1] [2]