Pelakon, Bella Dowanna masih mampu menarik nafas lega kerana boleh berjalan dan melakukan aktiviti harian seperti biasa walaupun mengalami kecederaan pada lututnya.
Menurut pelakon berusia 20 tahun itu, kecederaan yang dialami ketika menjalani penggambaran itu menyebabkan pemilik nama sebenar Qystinna Istajibilla Dowanna Halim ini terpaksa menggunakan tongkat sebagai sokongan.
“Alhamdulillah keadaan lutut saya semakin baik. Saya dah boleh berjalan, melipatkan kaki dan menaiki tangga.
“Walaupun bertongkat, keadaan lutut saya tidak seteruk seperti sebelum ini. Namun saya perlu menjalani beberapa lagi sesi fisioterapi dan imbasan MRI untuk mengetahui keputusan sama ada lutut saya perlu dibedah atau tidak,” ujarnya.
Menurut Bella lagi, dia enggan melakukan pembedahan sebelum ini kerana tidak mahu menggangu jadual penggambaran drama bersama pelakon lain.
“Saya tidak mahu buat pembedahan sebelum ini kerana jika lutut saya dibedah, saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam minggu untuk sembuh.
“Takut nanti disebabkan saya, jadual penggambaran pelakon lain yang terlibat turut terjejas,” katanya.
Menganggap apa yang berlaku sebagai takdir, Bella berkata keadaan dirinya kini juga sudah semakin baik namun masih perlu berhati-hati.
Terdahulu, Bella dimasukkan ke hospital akibat kecederaan pada bahagian lutut kaki kanan yang dikenali sebagai meniscus tear. Katanya, lututnya tiba-tiba ‘meletup’ hingga membuatkan dia terjatuh kerana berasa sakit dan menangis.
Sumber: Kosmo!