Salah seorang peserta program All Star Gegar Vaganza (GV10), Liza Hanim mengakui jolokan bakal juara GV10 yang diperkatakan ramai memberi sedikit tekanan kepada dirinya sendiri.
Pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abd Halim, 43, bagaimanapun berkata, beliau enggan hanyut dengan bayangan itu dan berjanji akan memberi persembahan terbaik bagi setiap tugasan diberi dalam GV10.
“Pada awalnya memang ada rasa sedikit beban yang berat perlu dipikul ditambah dengan jangkaan orang ramai.
“Namun saya pilih untuk tolak semua benda itu dan fokus pada cara untuk bertahan setiap minggu kerana setiap peserta GV10 hebat serta miliki peluang sama (bergelar juara),” katanya.
Tambah beliau yang pernah bergelar naib juara GV4, setiap peserta layak untuk bergelar juara kerana masing-masing mempunyai kehebatan dan keunikan tersendiri.
“Semua hebat, ada identiti dan kekuatan mereka sendiri, jadi kami semua sedang melalui fasa survival.
“Kami hanya beri yang terbaik setiap minggu.
“Tolak ke tepi dahulu dakwaan akan bergelar juara atau perkara lain, hal yang penting sekarang ini ialah cuba sebaik-baiknya,” katanya lagi.
Untuk rekod, penyanyi ini sudah dua minggu berturut-turut diumumkan sebagai peserta dengan markah tertinggi di GV10.
Untuk itu, beliau meluahkan rasa syukur dan lega apabila diumumkan sedemikian.
“Apabila habis buat persembahan, memang rasa lega sangat tapi saya tak pernah menyasarkan pun untuk mendapat tempat pertama itu.
“Apa pun, alhamdulillah apabila diumumkan sebagai peserta dengan markah tertinggi.
“Adakalanya kalau letak sasaran sebegitu (tempat pertama) akan memberi bebanan terhadap diri sendiri semula,” ujarnya.
Pada minggu lalu, penyanyi, Zamani telah tersingkir daripada pentas All Stars Gegar Vaganza selepas mendapat markah terendah dalam kalangan peserta yang bertanding.
Sumber: Kosmo!