Anak kepada pelakon, Nora Ariffin iaitu Putri Dahlia menzahirkan rasa syukur apabila lagunya berjudul Old Love menerima Anugerah The Malaysia Book of Records (MBOR).
Putri yang juga seorang penyanyi tempatan memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu.
Menurut Putri, lagu tersebut menerima anugerah bagi kategori The Most Streams of a Spotify Song.
“Inilah saatnya… Alhamdulillah, hari ini 7 Julai 2023, Old Love menjadi lagu spotify yang paling banyak distrim di Malaysia dan kami mendapat anugerah dalam The Malaysia Book Of Records.
“Ketika lagu ini dihasilkan, Yuji berusia 19 tahun dan saya berumur 18 tahun. Hanya dua orang remaja yang mempunyai impian dan menyukai muzik.
“Tidak pernah menyangka saya akan mencapai apa-apa seperti ini, maaf saya agak emosi tetapi ini sangat besar untuk saya, terima kasih atas sokongan anda semua,” tulis beliau.
Putri turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tidak berputus asa memberikan sokongan kepadanya.
“Malaysia’s Record of Most Streams, segalanya terima kasih kepada anda semua yang menyukai lagu tersebut.
“Harap lagu ini telah mengubah hidup, membuat sebahagian daripada anda jatuh cinta. Kami berasa gembira dapat membuat lagu untuk semua orang.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada @yujikyunn untuk membuat kerjasama ini berlaku setahun yang lalu,” tulisnya.
Terdahulu, Putri turut meluahkan rasa teruja apabila lagunya didengar oleh anggota kumpulan K-Pop terkenal, BTS Jungkook sekitar Mac lalu.
Sumber: Instagram