Satu lagi kumpulan dari Malaysia yang membawakan genre M-pop, iaitu Wandted telah memasuki industri muzik tanah air.
Dianggotai enam wanita jelita, Wandted ditubuhkan bukan mahu menyanyi mana-mana kumpulan terutamanya DOLLA, sebaliknya mereka begitu optimis untuk menempa nama dalam dunia hiburan dengan memberi yang terbaik kepada pendengar.
Salah seorang ahli Wandted, Aela berkata, mereka melihat kepada kejayaan muzik K-pop di negara ini yang diterima baik dan dibawakan beberapa kumpulan wanita muda, membuatkan Wandted mahu mengambil langkah yang sama.
"Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.
"Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-pop popular hingga mampu tembusi pasaran antarabangsa, sekali gus kami yakin M-pop juga mampu berkembang pesat.
"Melihat pencapaian bintang K-pop, Wandted juga menyahut cabaran melalui sesi latihan jitu selama dua tahun supaya lebih bersedia untuk debut kami ini. Penantian itu berbaloi," kata beliau.
Selain Aela, ahli lain kumpulan Wandted adalah Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna.
Menurut Aela, pemilihan ahli Wandted sebelum ini cukup ketat sekitar 2020, sebelum mereka menyertai kem latihan dibawah bimbingan profesional.
Wandted kini tampil mempertaruhkan single berjudul Cinderella, ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.
Sumber: Tiktok / HMetro