Spesis kucing dengan bulu berwarna oren-kekuningan ini sering dikaitkan dengan pelbagai kisah sama ada lucu hinggalah kepada nakal yang menarik perhatian ramai.
Baru-baru ini, kisah Oyen yang dikatakan berebut kekasih turut dikongsikan oleh Facebook Rapid KL dan berjaya menghiburkan netizen.
Menurut Rapid KL, akibat berebutkan kucing betina lain, Oyen bergaduh hingga mengakibatkan luka teruk pada bahagian kepala.
Salah seorang penumpang Rapid KL yang bersimpati melihat kecederaan Oyen telah menghulurkan wang kepada kakitangan Rapid KL untuk membiayai rawatannya.
Oyen telah dibawa ke klinik haiwan berdekatan oleh salah seorang kakitangan Rapid KL, sebelum ia dibawa pulang ke rumah untuk penjagaan susulan. Tidak lama selepas itu, Oyen dikatakan telah kembali sihat dan cergas seperti selalu.
Sehubungan itu, pihak Rapid KL berseloroh untuk meningatkan kepada mana-mana penumpang yang terjumpa Oyen agar menasihatinya bahawa dalam dunia ini bunga bukanlah sekuntum.
“Bunga bukan sekuntum, Yen!”
Rapid KL turut memaklumkan kucing berkenaan juga telah dikasi dan kini hanya berminat untuk mengejar tikus dan bukan lagi kucing betina.
Sumber: Rapid KL