“Saya Akan Raya Dengan Mama Kat Kubur Dia,” Sambutan Raya Kilafairy Tahun Ini Berbeza

Pelakon dan penyanyi, Kilafairy, 30, berkata sambutan Ramadan dan Aidilfitri buat dirinya tahun ini adalah berbeza, selepas kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Rohana Jalil, pada 20 Jun tahun lalu.

“saya akan raya dengan mama kat kubur dia,” sambutan raya kilafairy tahun ini berbeza

Menurut pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jahangir Khan, perasaannya ketika ini juga kosong dan tiada persiapan untuk Aidilfitri dibuat termasuk baju raya.

 

"Baju raya pun saya tak beli. Tiada raya tahun ini untuk saya. Malah saya akan raya dengan mama kat kubur dia. Macam mama pernah pesan pada saya, reda dengan semua ketentuan Allah, insya-Allah semuanya akan okey.

"Fokus saya sekarang ialah pada yang masih ada iaitu papa, adik-beradik, sepupu dan lain-lain. Ustazah saya kata, Mama akan gembira kalau kita gembirakan orang-orang dia sayang yang masih hidup.

"Jadi, untuk tidak rasa sedih sangat, saya pastikan buat amal jariah dan sebagainya untuk mama setiap hari dalam hidup saya selagi saya masih hidup," katanya.

 

 

Tambahnya, terlalu banyak perkara beliau lakukan bersama arwah ibu sepanjang hidupnya 31 tahun di dunia ini.

 

"Memang tak boleh nak fikir kerana banyak sangat. Cuma, saya rindu masakan mama. Ya Allah rindunya keceriaan dia.

"Mama ini ibarat 'sunshine' dalam hidup kami. Sentiasa ceria setiap hari dan menggembirakan hidup kami. Sekarang cahaya matahari dah hilang. Saya tak akan pernah jadi orang yang sama seperti saya sebelum ini," katanya lagi.

 

Sumber: HMetro