Pelakon, Aedy Ashraf baru-baru ini dilihat sanggup terbang ke Perancis demi menemani teman wanitanya, Amelia Henderson yang bertugas sebagai hos sebuah acara, jelas membuktikan kesungguhan hubungan cinta pasangan itu.
Menurut Aedy, 30, beliau ke sana bagi memberi sokongan pada Amelia dan berbangga dengan pencapaiannya, selain mahu meluangkan masa bersama-sama kekasihnya itu.
“Saya ke sana sebagai tanda sokongan kepada Amelia memandangkan ini peluang terbaik untuk dirinya sebagai wakil negara menemubual selebriti Hollywood.
“Malangnya saya tidak dapat bertemu mana-mana bintang memandangkan saya tiba lewat sikit,” katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, beliau meluahkan rasa syukur apabila hubungannya bersama Amelia direstui peminat.
Tambahnya lagi, beliau enggan terlalu memikirkan langkah seterusnya dalam hubungan itu, dan menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.
“Saya sangat selesa dengan Amelia, saya bersyukur peminat mendoakan yang baik-baik untuk kami dan saya harap mereka akan terus doakan kami.
“Perancangan (kahwin) belum ada lagi, kami nikmati masa kami berdua, kalau ada rezeki ada, dan begitulah sebaliknya,” jelas Aedy lagi.
Terdahulu, pelakon ini menjadi perhatian selepas memberanikan diri melamar kekasihnya itu dihadapan khalayak ramai di sebuah acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sumber: Kosmo!