Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dijadualkan tamat pada 4 Februari ini disambung selama dua minggu lagi sehingga 18 Februari depan kecuali di Sarawak.
Ini berikutan kes COVID-19 di negeri-negeri masih menunjukkan trend peningkatan selain jangkitan sporadik dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara juga tinggi.
Macam biasalah, sepanjang lanjutan PKP 2.0 ini, prosedur operasi standard masih sama di mana pergerakan rentas negeri dan daerah serta penganjuran aktiviti sosial tidak dibenarkan.
Tambah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, SOP baru yang lebih ketat mengenai lanjutan PKP ini akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.
Selain itu katanya, permohonan untuk lebih banyak sektor ekonomi dibuka sepanjang tempoh PKP akan diteliti bersandarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.
Katanya, MKN telah menerima banyak permohonan daripada operator serta pemilik premis perniagaan untuk beroperasi ketika PKP seperti kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan salun.
Apa pun, perkara ini sesungguhnya memang sudah dijangka oleh orang ramai malah memang ada dalam kalangan kita yang mahu PKP disambung ekoran jumlah kes harian yang masih tinggi.
Oleh itu, pastikan anda semua terus patuh kepada SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka untuk kita sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini.
Oleh: Shah Rahimin