Kes Harian Dijangka Terus Meningkat Sebelum Capai 80 Peratus Vaksinasi

Bilangan kes harian COVID-19 dijangka akan terus meningkat sebelum negara mencapai kadar vaksinasi 80 peratus pada hujung Oktober ini.

kes harian dijangka terus meningkat sebelum capai 80 peratus vaksinasi

Demikian menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim yang memaklumkan peningkatan ini adalah disebabkan negara berdepan dengan varian-varian baharu seperti varian Delta.

 

"Mengambil contoh kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang tinggi menunjukkan kes baharu menurun, tetapi yang lebih kita tekankan di sini (Labuan dan Sarawak) adalah kadar kemasukan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian menunjukkan penurunan yang ketara.

"Kita jangka kalau kita dapat buat perkara serupa di Semenanjung, lebih-lebih lagi di tempat hotspot yang sedang mengalami wabak yang meningkat terutamanya di Lembah Klang, dengan peningkatan kadar vaksinasi kita akan dapat lihat penurunan (kes).

"Penurunan kes mungkin mengambil masa sedikit tetapi yang lebih penting kita nak lihat penurunan dari segi kemasukan pesakit-pesakit yang serius ke wad, maknanya mereka yang memerlukan ICU dan mereka yang meninggal dunia, itu kita harap dapat turunkan," katanya.

 

Menurutnya lagi, KKM telah mengesan sejumlah 409 kes varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan virus COVID-19 di Malaysia iaitu 189 kes bagi varian Delta, 206 kes bagi varian Beta dan 14 kes bagi varian Alpha setakat 22 Julai lalu.

 

"Pada bulan ini kita menjangkakan jumlah penjujukan genom akan meningkat sebab kita telah menubuhkan konsortium tujuh makmal di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan di universiti.

"Ia akan meningkatkan lagi 1,000 penjujukan genom sebulan dan dengan itu kita akan dapat lebih terperinci lagi maklumat tentang penyebaran varian-varian di dalam negara kita," katanya lagi.

 

Sumber: BERNAMA / Astro AWANI