Pelakon baharu, Erysha Emyra berdepan detik mencemaskan apabila kereta miliknya jenis Mini Cooper, tiba-tiba terbakar semasa dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada petang Rabu, 1 Nov.
Menurut Erysha, beliau bersyukur kerana sempat keluar daripada kenderaan terbabit dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Namun, beliau bersedih apabila kereta kesayangannya itu tidak dapat diselamatkan kerana hangus terbakar.
"Insiden yang begitu trauma berlaku kepada saya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini (semalam), tetapi alhamdulillah saya selamat dan berada dalam keadaan baik.
"Kereta saya tiba-tiba terbakar dan tidak dapat diselamatkan. Alhamdulillah saya dapat keluar daripada kereta tepat pada masanya, cuma panik sepanjang perjalanan," tulisnya dalam beberapa hantaran di Instagram Story.
Erysha juga tidak dapat menahan rasa sedih apabila menyaksikan kereta biru kesayangannya itu rentung 100 peratus.
"Ketika bomba tiba kereta saya sudah hangus terbakar. Selamat tinggal kepada rakan biru saya. Terima kasih atas 'jasa' anda selama ini," katanya.
Sumber: Instagram Erysha Emyra