Cetus Nostalgia, Adiwira Keluang Man Bakal Kembali Dalam Bentuk Filem!

Siri animasi legenda Malaysia yang amat popular dan menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.

cetus nostalgia, adiwira keluang man bakal kembali dalam bentuk filem!

Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Kerjasama ini sekaligus menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu serta bakal melahirkan universe adiwira tempatan terbesar.

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an. Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Bin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998. 

cetus nostalgia, adiwira keluang man bakal kembali dalam bentuk filem!

Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.

Watak adiwira tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi. Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton sejak animasi ini ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini. Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang bakal diterbitkan, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.

Keluang Man bakal memulakan pra-produksi dalam masa terdekat dan pihak Penerbit akan mengumumkan jangkaan tayangannya di pawagam kelak. Ikuti info dan perkembangan filem Keluang Man ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.