Rakan Baik Pernah ‘Larikan Diri’ Sebab Amelia Henderson Tak Kaya

Pelakon, Amelia Henderson mendedahkan rakan baiknya dahulu pernah mengenepikannya gara-gara perbezaan status keluarga.

rakan baik pernah ‘larikan diri’ sebab amelia henderson tak kaya

Ujar Amelia, ketika belajar di sebuah sekolah antarabangsa, rakan baiknya itu enggan berkawan dengannya lagi selepas dia diundang ke rumahnya.

 

“Saya ada seorang kawan baik yang saya ajak ke rumah buat pertama kali. Pada masa itu datuk saya sakit dan dia berpindah ke Kuala Lumpur dari Klang.

“Rumah kami hanya mempunyai tiga bilik dengan satu digunakan ibu saudara, adik dengan ibu saya sebilik, manakala bilik tidur saya digunakan datuk sementara dia tinggal dengan kami.

“Saya ingat lagi kawan saya meninjau keadaan bilik tidur saya yang kecil dengan ekpresi terkejut dan selepas itu dia tak mahu berkawan dengan saya lagi,” kongsi Amelia dalam podcast Studio Sembang kendaliannya bersama tetamu jemputan, Hun Haqeem.

rakan baik pernah ‘larikan diri’ sebab amelia henderson tak kaya

Ujar Amelia lagi, walaupun mereka sekeluarga hidup bersederhana, bapanya. Graham Henderson tetap ingin melihatnya belajar di sekolah antarabangsa itu.

 

“Kisah ini sangat peribadi. Dahulu saya pernah belajar di sebuah sekolah antarabangsa yang sangat mahal (yuran) dan merupakan tempoh terpendek dalam hidup saya.

“Sebenarnya keluarga saya tak mempunyai kewangan seperti ibu bapa lain dan saya dapat rezeki belajar di sekolah itu pun selama dua tahun sahaja.

“Kami tak pakai Mercedes atau BMW, ibu saya hanya bawa kereta Proton Wira dan duduk di rumah teres. Kehidupan kami sangat ‘basic’ dan normal.

“Saya pergi sekolah naik bas, rumah pun tak ada kolam renang tapi kawan-kawan lain kalau naik bas pun bas ‘first class’ dan semua duduk banglo,” tambahnya lagi.

 

Pun begitu, Amelia turut bersyukur merasai pengalaman zaman remaja yang dianggap amat bernilai buatnya. Beliau juga kini berasa skeptikal dalam menjalin persahabatan baharu dek kerana pengalaman itu.

Sumber: Studio Sembang