Sitkom komedi pertama yang dirakam secara langsung di Astro Warna, Sepahtu Reunion Live merupakan program yang amat dinanti-nantikan ramai khasnya peminat kumpulan Sepahtu.
Sitkom yang diserikan dengan artis jemputan dan cameo pada setiap episod ini tiba-tiba menjadi menjadi topik hangat peminat selepas seorang ahlinya didapati tidak lagi bersama Sepahtu Reunion Live, sebaliknya menyertai program berbeza pula.
Terpanggil untuk menjawab perkara sebenar tentang apa yang berlaku, Jep tampil membuat kenyataan menjelaskan persoalan oleh peminat.
Jelas Jep, beliau dan ahli kumpulan yang lain tidak pernah pun membuang ahli itu daripada kumpulan mereka selepas dia dikenakan penggantungan sementara kerana berkelakuan lucah semasa sedang bersiaran langsung.
“Ceritanya bermula ada babak yang dia mainkan dalam SRL mendapat kecaman teruk dari penonton. Aksi lucah itu berlaku ketika babak dia sedang mesin kelapa.
“Jadi pihak Astro mengeluarkan arahan untuk dia minta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan penggantungan selama dua minggu. Tindakan itu sebagai peringatan juga kepada kami pemain yang lain. Ini kerana SRL adalah tontonan keluarga dari pelbagai lapisan umur.
“Setelah meminta maaf, dia masih tidak puas hati dengan tindakan yang dikenakan, lalu memberi kata dua sekiranya dia masih digantung 2 minggu dia memilih untuk tidak meneruskan lagi baki 50 episod yang tinggal.
“Musim berganti musim, musim baru SRL pun tiba. Tidaklah kami melutut memujuk tp kami tanya, pelawa dan jemput semula. Kami tunggu keputusannya. Senyap tak ada berita. Mahu tak mahu kami teruskan juga tanpa dia,” jelas Jep dalam satu hantaran di Instagram.
Rata-rata peminat tampil memberi pendapat mereka tersendiri mengenai isu ini.
Sumber: Instagram