Dua lagi mangsa, masing-masing mangsa ke-17 dan mangsa ke-18 ditemui berpelukan dalam tragedi runtuhan tanah di Sektor C atau Riverside pada jam 4.40 petang tadi.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa yang ditemukan berpelukan itu adalah pasangan ibu dan anak perempuan yang dipercayai dalam lingkungan usia tiga tahun.
Mayat kedua-dua mangsa dipercayai berada di antara Sektor A atau Sektor B semasa kejadian, namun telah dibawa arus tanah.
“Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam hari.
“Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan,” kata Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.
Sementara itu, jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, di sini meningkat kepada 21 mangsa ketika ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ini fokus pencarian diteruskan bagi mencari 12 lagi mangsa yang masih hilang.
Sumber: Utusan