Hubungan Raf Yaakob Dengan Mawar Rashid Baik, Tak Tolak Andai Berjodoh Semula

Bekas suami kepada pelakon Mawar Rashid iaitu Raf Yaakob menegaskan penceraiannya dengan bekas isteri bukanlah gara-gara kehadiran orang ketiga.

hubungan raf yaakob dengan mawar rashid baik, tak tolak andai berjodoh semula

Menurut pemilik nama sebenar Raden Ahmad Faizal Yaakob, hubungannya dengan Mawar kini juga baik meskipun mereka bukan lagi pasangan suami dan isteri.

 

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik sahaja. Selepas bercerai, tiada siapa yang keluarkan sebarangan kenyataan.

“Saya ingin terangkan di sini bahawa, perceraian kami bukanlah disebabkan oleh pihak ketiga. Saya tiada orang ketiga dan begitu juga dengan bekas isteri saya.

“Allah dah kata jodoh kami setakat ini sahaja, jadi saya reda dan menerima ujian ini dengan hati terbuka,” katanya.

 

Tambah Raf, mereka kini mahu memberi fokus untuk menjaga hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak.

hubungan raf yaakob dengan mawar rashid baik, tak tolak andai berjodoh semula

“Selepas bercerai, tiada sebarang pergaduhan melibatkan anak-anak. Kami berdua sangat fleksibel apabila melibatkan mereka (anak-anak).

“Itulah tanggungjawab kami untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan yang bahagia.

“Alhamdulillah, setakat ini kami sangat positif dengan anak-anak dan insya-Allah, mereka tidak akan terkesan dengan apa yang berlaku di antara saya dan Mawar,” kata beliau.

 

Adik kepada chef selebriti popular Datuk Fazley Yaakob itu berkata lagi beliau tidak menolak andai berjodohan semula dengan bekas isteri.

 

“Soal jodoh ini semuanya ketentuan Allah dan apa yang saya boleh cakap ialah saya akan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik.

“Kalau Allah kata saya akan dijodohkan semula dengan dia (Mawar), maka dialah orangnya. Namun jika Allah kata bukan, maka bukanlah dengan dia.

“Apa yang penting sekarang ini, saya mahu fokus untuk mencari nafkah buat anak-anak dan perbaiki diri saya sendiri,” kata beliau.

 

Pasangan itu yang pernah mendirikan rumah tangga pada 9 Nov 2017 dan dikurniakan 3 orang cahaya mata, telah sah berpisah pada November tahun lalu.

 

Sumber: Kosmo!