Pelakon, Mawar Rashid menyifatkan kehidupannya ibarat gelas kosong selepas berpisah dengan bekas suami, Raf Yaakob.
Menurut pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, beliau menganggap perpisahannya itu adalah satu perjalanan baharu dalam kehidupan bersama anak-anaknya.
“Ini adalah fasa baharu dalam hidup saya dan ini adalah diri saya yang baharu.
“Semuanya mula semula dan saya anggap diri saya seperti gelas kosong,” katanya.
Mawar bagaimanapun masih enggan mengulas lanjut mengenai punca penceraiannya kerana menganggap ia adalah isu peribadi.
“Saya berpegang kepada prinsip untuk tidak berkongsi isu peribadi pada umum sebab saya ada anak-anak. Nanti mereka besar, akan baca perkara yang tak sepatutnya.
“Saya juga menghormati pihak yang terlibat. Namun, apa yang boleh saya cakap, saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang saya terima sekarang,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai keadaannya selepas berpisah, Mawar berkata kehidupannya kini juga semakin baik dan lebih gembira.
Terdahulu, Mawar Rashid dan Raf Yaakob mengesahkan penceraian mereka menerusi Instagram pada 23 Nov lalu, selepas mendirikan rumahtangga pada Nov 2017 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sumber: HIB Glam