Pengacara dan selebriti, Hawa Rizwana akui tidak kisah badannya calar-balar dek kerana melakukan aktiviti lasak bagi memenuhi tuntutan kerja sebagai seorang anak seni.
Menurut pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 28, beliau tidak diberi peluang untuk melakukan aktiviti lasak seperti itu ketika dibangku sekolah kerana dilarang ibu dan bapa.
“Saya berjiwa lasak sebenarnya. Tapi sewaktu membesar, ibu bapa saya tidak bagi saya buat apa-apa aktiviti lasak termasuk sukan. Mungkin sebab saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.
“Jadi dari zaman sekolah hingga universiti, saya cuma diberi keizinan untuk menari sahaja. Jadi bila sudah dewasa dan sudah boleh berdikari, baru saya aktifkan diri dengan melakukan perkara-perkara lasak,” katanya.
Hawa yang merupakan salah seorang peserta dalam rancangan realiti terbaharu, Real Men Malaysia: Wira Merah, telah mengalami kecederaan pada sikunya sewaktu melakukan salah satu aktiviti lasak.
Beliau bagaimanapun berasa teruja menyertai program berkenaan dan tidak menyangka kedua orang tuanya memberi keizinan untuk melibatkan diri dalam rancangan yang penuh lasak ini.
Baca: Rancangan Realiti Paling Digeruni Selebriti Malaysia, ‘Real Men Malaysia: Wira Merah’ Kini Di Astro
‘Real Men Malaysia: Wira Merah’ akan ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 30 Julai, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104). Untuk pilihan lebih fleksibel, ia turut boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Sumber: Kosmo!