Pengacara, Hawa Rizwana mengakui cabaran untuk menggantikan Neelofa sebagai pengacara program MeleTOP itu memang ada.
Namun katanya, beliau enggan dibayangi sesiapa dan mahu orang mengenali dirinya sebagai Hawa Rizwana.
Dua bulan lalu, Hawa telah dipilih untuk menggantikan pengacara tetap program MeleTOP iaitu Neelofa, dan sejak dari itu ramai yang melihat Hawa seakan-akan Neelofa dek kerana wajahnya yang seiras.
Selepas beberapa episod mengendalikan program berkenaan, pengacara berusia 27 tahun ini berkata beliau berasa puas apabila dapat menghiburkan penonton dengan personaliti dirinya yang lebih rileks dan santai, berbanding apabila dia membaca berita dengan keadaan lebih formal.
“Bagi saya itu satu cabaran tapi untuk deny apa yang orang kata saya tak boleh berbuat apa-apa kerana itu persepsi orang. Tapi saya harap pemilihan stesen TV untuk saya mengacarakan program hiburan adalah atas faktor lain.
“Harapnya mereka menilai berdasarkan tiga program yang saya dah buat sebelum ini. Untuk merubah penerimaan orang itulah cabarannya kerana berpandukan komen yang saya baca mereka suka membuat perbandingan.
“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri sehingga satu hari nanti orang melihat saya tanpa dibayangi sesiapa, saya mahu orang lihat dan kenal saya sebagai Hawa Rizwana,” katanya.
Ujarnya lagi, terdapat beberapa impian lain yang beliau ingin capai namun lebih selesa menyimpan ia sendiri tanpa dikongsikan kepada umum.
“Saya ada beberapa goals yang mahu dicapai, tapi biar saya simpan sendiri kerana takut tak tercapai. Saya mahu cuba banyak benda, menerokai benda-benda yang sebelum ini berat hati hendak saya cuba.
“Apa yang boleh saya kongsi saya mungkin akan mula berlakon, memandangkan saya sendiri dah masuk dunia hiburan, mengapa tidak?” kongsinya ringkas.
Sumber: EH!