Pengacara dan hos, Hawa Rizwana kini menjadi bahan usikan kononnya beliau sedang mempunyai hubungan istimewa dengan selebriti, Zizan Razak.
Namun menurut Hawa, usikan itu dianggapnya sebagai satu lumrah dalam dunia hiburan dan menegaskan hubungan mereka bagaikan adik dan abang.
Menurut pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27, beliau sudah mula kenal Zizan sejak terbabit dalam industri penyiaran sekitar tahun 2016 lagi.
“Boleh dikatakan kami sudah lama berkawan iaitu sejak saya jadi wartawan penyiaran lagi kerana pernah menemu bual dia sebelum ini.
“Kami tiada apa-apa (hubungan) pun, tak lebih daripada rakan. Saya anggap Zizan macam abang dan senior dalam industri seni.
“Kebelakangan ini pula kami kerap dilihat bersama kerana terbabit dalam telefilem sempena Aidilfitri bawah arahan Michael Ang.
“Zizan jenis kuat mengusik dan suka kongsi gambar ketika penggambaran dalam media sosial. Mungkin dari situ orang salah sangka,” kata Hawa.
Hawa yang bakal menggalas watak sebagai isteri kepada Zizan dalam telefilem ini berkata, ada banyak perkara yang perlu dipelajari olehnya apatah lagi dia juga tiada pengalaman dalam menjiwai watak dan perwatakan.
Tambah Hawa, beliau juga tidak gemar melayan usikan atau gosip kerana perjalanannya kariernya masih panjang dan meletakkan kepentingan pada kerja, berbanding hal peribadi.
Sumber: Kosmo!