Datuk Hattan memilih untuk berdiam diri dan tidak ingin memburukkan lagi keadaan atas insiden yang melibatkan namanya dengan sebuah stesen televisyen.
Penyanyi itu mengaku bahawa kejadian tersebut telah membuatnya mengenali lebih baik siapa kawan dan siapa lawan dalam industri muzik.
“Saya tak nak cakap dengan sesiapapun berhubung isu yang berlaku. Buat masa sekarang, begini sahajalah. Nanti ada masa, saya jemput kawan-kawan rapat makan, jumpa bersama.
“Apa yang berlaku tempoh hari buat saya kian kenal ramai rakan sebenarnya suka tikam belakang. Tapi tak mengapa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan berkata apa-apa mengenai isu tersebut dan menyatakan bahawa kerjaya seninya masih berjalan dengan lancar walaupun isu ini berlaku, malah beliau kini sedang sibuk dengan jadual persembahan.
Apabila ditanya mengenai kesihatannya dari segi mental, Hattan menyatakan bahawa dia baik-baik saja dan berharap untuk meredakan keadaan terlebih dahulu.
Terdahulu, nama Hattan menjadi polemik apabila beliau menempelak seorang penyampai berita Astro Awani yang didakwanya tidak membuat kajian sebelum bertanyakan soalan. Insiden tersebut telah menimbulkan kritikan tajam daripada netizen, termasuk ugutan bunuh dan santau daripada individu tidak bertanggungjawab kepada keluarga beliau.
Sumber: Kosmo! Online