‘Saya Sedikit Hairan’ - Haqiem Rusli Bingung Lagu “Mimpi” Gagal Tercalon Dalam AIM23

Penyanyi popular, Haqiem Rusli mengaku dirinya tidak berpuas hati selepas salah satu lagu nyanyiannya, “Mimpi” tidak tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

‘saya sedikit hairan’ - haqiem rusli bingung lagu “mimpi” gagal tercalon dalam aim23

Menurut Haqiem, pihak pengurusannya, FMC Music telah menghantar lagu terbabit untuk dicalonkan dalam enam kategori iaitu lagu pop terbaik, vokal lelaki terbaik, susunan muzik terbaik, rakaman lagu terbaik, runut bunyi (OST) terbaik di dalam drama dan muzik video terbaik.

Bagaimanapun, ia tidak berjaya membolos satu pun daripada mana-mana kategori tersebut.

“Saya sedikit hairan apabila dikhabarkan bahawa lagu Mimpi tak tersenarai dalam calon Top 5 AIM.

“Dan ia menimbulkan tanda tanya adakah lagu ini tidak bagus? Namun saya yakin rezeki itu Allah yang atur dan susun.

“Jadi saya serahkan sahaja perkara ini pada pihak pengurusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil FMC memohon supaya ahli jawatankuasa AIM23 untuk menyemak semula senarai calon akhir itu.

“Kami faham AIM merupakan anugerah yang diberikan kepada karya berkualiti dan bukan bersandarkan populariti lagu sahaja.

“Akan tetapi jika lagu ini tidak pernah memenangi sebarang anugerah yang melalui proses penjurian profesional, pasti kami tidak akan mempertikaikannya.

“Malah kami yakin lagu Mimpi layak untuk berada di Top 5 AIM sekurang-kurangnya dalam beberapa kategori,” katanya.

 

Sumber: Utusan TV