Pelakon, Hafidz Roshdi dilapor kini sedang memperjuangkan hak penjagaan sepenuhnya terhadap kedua anaknya yang kini berada di bawah jagaan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Permohonan tersebut telah difailkan pada 18 April lepas di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Tarikh perbicaraan pula telah ditetapkan pada 12 Jun ini.
Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff berkata bahawa Hafidz, atau nama penuhnya, Muhammad Hafidz Roshdi, turut memohon hak penjagaan interim (sementara) untuk kedua-dua anaknya.
"Permohonan hak penjagaan interim ini dibuat kerana Hafidz menghadapi kesulitan untuk bertemu atau berkomunikasi dengan anak-anaknya.
“Oleh itu, diperlukan suatu perintah interim agar suatu sistem jadual lawatan dapat dijalankan, terutamanya untuk memenuhi keperluan emosi dan perhatian anak-anak daripada kedua ibu bapa mereka," kata beliau.
Permohonan hak penjagaan interim tersebut telah difailkan pada 12 Mei lalu.
Hafidz dan Nurul Shuhada telah berkahwin pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua orang anak, iaitu Humairah, berusia 6 tahun, dan Umar, berusia 2 tahun.
Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada telah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Namun, permohonan ini tertangguh kerana Mahkamah Rendah Shah Alam perlu mengesahkan perceraian pasangan tersebut.
Hal ini disebabkan oleh dakwaan bahawa Hafidz pernah melafazkan talak sebanyak dua kali.
Krisis dalam hubungan pasangan itu mencapai kemuncak apabila Hafidz dituduh memukul Nurul Shuhada sebanyak tiga kali.
Kejadian ini dilaporkan berlaku pada pukul 3.30 pagi, 2 Mac lalu, berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat Sungai Buloh. Hafidz bagaimanapun tidak mengaku salah atas tuduhan tersebut ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.
Sumber: Utusan Malaysia