Ganjaran RM5,000 Pada Pemberi Maklumat Kes Jerut Kucing

Ganjaran wang tunai RM5,000 ditawarkan oleh Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) kepada mana-mana individu atau saksi yang boleh memberikan maklumat berhubung kes kekejaman terhadap seekor kucing pada Selasa.

ganjaran rm5,000 pada pemberi maklumat kes jerut kucing

Menerusi video yang tular, seekor kucing telah diperlakukan dengan kejam apabila lehernya dijerut dan digantung pada pagar sebuah rumah.

 

"Saya difahamkan bangkai kucing malang itu ditemui di sebuah rumah di taman Tas Ria berdasarkan perkongsian daripada video yang tular itu.

"Jadi, saya mohon dan merayu saksi kejadian supaya tampil menghubungi persatuan untuk menyalurkan maklumat lengkap dan kita akan berikan ganjaran kepada mereka,” kata Pengerusi SKJP, Jurina Abdul Rani.

 

Sejak Selasa, video berdurasi 20 saat tular di media sosial menunjukkan bangkai seekor kucing ditemui dalam keadaan tergantung dan terjerut pada pagar sebuah rumah.

 

Turut kedengaran dalam video itu suara seorang lelaki yang bertanyakan kucing itu milik siapa.

 

Pemberi maklumat berhubung insiden itu diminta untuk tampil bagi membantu pihak berkuasa menangkap si pelaku supaya didakwa dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.

 

Menurut Jurina lagi, identiti saksi atau pengadu akan dirahsiakan dan diharap ada yang tampil memberi kerjasama.

 

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada persatuan menerusi Facebook rasmi kelab SKJP,” katanya.

 

Sumber: [1]