‘Loqlaq’ Perkataan Pertama Gadis Tajikistan Ini Belajar, Kini Fasih BM

Seorang gadis kelahiran Dushanbe, Tajikistan kini menjadi perhatian ramai selepas mampu bertutur dengan fasih dalam loghat utara.

‘loqlaq’ perkataan pertama gadis tajikistan ini belajar, kini fasih bm

Sabrina Abdulloeva, 23, berkata loghat utara begitu istimewa buatnya kerana ia mudah dipelajari dan penuh dengan ekspresi.

 

Memetik laporan dari Kosmo!, gadis itu berkata beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan orang Malaysia kerana kedua ibu dan ayah kandungnya adalah dari Tajikistan.

 

 

Menurutnya, beliau mempelajari bahasa tempatan selepas berpindah ke Nibong Tebal, Seberang Perai kira-kira 15 tahun lalu. Ketika itu perkataan pertama yang dipelajarinya adalah ‘loqlaq’.

 

 

Loqlaq dalam loghat utara membawa maksud kelam-kabut atau cemerkap, dan sering disebut kepada seseorang yang tidak teratur hidupnya.

 

Sabrina berkata lagi, pada detik awal beliau berada di Malaysia, beliau akui terkejut dengan cuaca di sini, memandangkan Tajikistan ketika itu mengalami musim sejuk mencecah -10 darjah Celsius.

 

Katanya lagi, penduduk setempat menerima kehadiran beliau dan keluarga meskipun pada awalnya mereka tidak pandai berbahasa Inggeris kerana hanya bertutur dalam bahasa Tajik dan Rusia.

 

Kini selepas 15 tahun berlalu, beliau sudah fasih untuk berbahasa Melayu dengan petah loghat utara, hingga mempunyai puluhan ribu pengikut di laman sosial Instagram dan TikTok.

 

Sabrina kini juga merupakan penuntut ijazah Sarjana Muda Bioteknologi di Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengakui amat gemarkan budu serta masakan Melayu lain.

‘loqlaq’ perkataan pertama gadis tajikistan ini belajar, kini fasih bm

Sumber: [1]