Pelakon dan usahawan, Fouziah Gous akui tidak pernah memeriksa atau membaca mesej pada telefon bimbit suaminya, Zhafran Md Yusof.
Menurutnya, beliau mahu menjalani kehidupan yang tenang tanpa memikirkan perkara remeh atau buruk sangka pada pasangannya sendiri yang akhirnya boleh merosakan perhubungan.
“Saya takkan periksa telefon Zhafran sebab saya bukan jenis isteri yang penyibuk, selain sangat menjaga privasi orang walaupun terhadap suami sendiri.
“Saya hidup dengan rasa percaya dan fikiran tenang. Saya tahu suami sentiasa ada apabila diperlukan, tunaikan tanggungjawab, manakala saya juga lakukan amanah sebagai seorang isteri.
“Apa lagi yang saya mahu? Saya takkan cari masalah, tambahan pula sejak berkahwin 10 tahun lalu, kami sentiasa bersama saat susah senang,” katanya.
Malah beliau juga tidak goyah meskipun keadaan rumah tangga segelintir rakan artis musnah ditengah jalan.
“Saya selesa bekerja dengan suami, tiada masalah kerana kami profesional serta memahami tugas masing-masing tanpa mencampuradukkan urusan kerja dan rumah tangga.
“Sebagai ibu, isteri, masa saya padat, namun di rumah saya tetap laksanakan tugas dan tanggung jawab.
“Suami pun sangat bertimbang rasa, bantu apa yang patut ketika di rumah tetapi walaupun kita ‘kepala’ di tempat kerja jangan terbawa-bawa ego.
“Saya selalu ingatkan diri supaya buang ego terutama dalam rumah tangga sebab ada sebilangan wanita yang terlupa perkara ini sehingga jadi dominan,” kata beliau lagi.
Sumber: Kosmo!