Beberapa minggu yang lalu, nama Fatiya Latif telah menjadi topik hangat di media sosial gara-gara tindakannya yang sengaja mencetuskan provokasi terhadap rakan artis seperti Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Ridza dan Zarina Anjoulie.
Perubahan drastik pemilik nama sebenar Nur Fatiya Abdul Latiff, 37, ini bukan sahaja mengundang kecaman netizen, malah ramai turut bersimpati dan bimbang dengan keadaan kesihatan mental beliau.
Terbaharu, Fatiya menerusi hantaran di Instagram berkata, beliau sebenarnya terbawa-bawa watak antagonis lakonannya dalam sebuah drama ke dunia realiti.
“Sebagai seorang pelakon yang telah berada dalam industri selama lebih dari 10 tahun, perjalanan untuk memainkan watak Aurora dalam Drama Jesnita yang ditayangkan awal tahun lalu agak sukar bagi saya.
“Watak Aurora adalah watak yang paling mencabar kerana ia telah mencetuskan reaksi dalam diri saya yang orang tidak faham. Tidak mudah untuk menghasilkan watak Aurora, saya sebagai puteri yang telah dilaknat oleh kejahatan (mungkin kedengaran rumit tetapi begitulah adanya).
“Yang penting, sesetengah orang percaya dan memfitnah sikap jujur saya di luar set filem. Saya tidak marah, tetapi gabungan watak dalam diri saya (Aurora dan diri sebenar saya) telah membuat saya mengubah persepsi saya terhadap apa yang saya lihat dan bagaimana saya bertindak balas,” kata beliau.
Beliau berkata lagi, disebabkan watak itu, beliau mula melihat dan menerima pendekatan yang berbeza terhadap orang sekeliling kepada dirinya.
“Tidak kurang penting, watak yang saya mainkan yang sepatutnya "dikeluarkan" masih ada dalam diri saya, kerana saya melihat kebaikan dari watak yang dimainkan itu,” kata Fatiya lagi.
Pendedahan itu bagaimanapun mengundang rasa kurang senang warganet yang masih mengecam apa yang dilakukan oleh beliau, termasuk isu melibatkan masyarakat di negeri Sabah yang dicetuskan olehnya sebelum ini.
Sumber: Instagram