Pelakon, Fatin Afeefa telah memfailkan bantahan terhadap pindaan tuntutan bekas suaminya, Adam Shaz.
Tuntutan sebelum ini dibuat Adam bagi hak bermalam dan lawatan terhadap anak perempuan mereka, Ivy Herra Sophia.
Susulan itu, mahkamah menetapkan semula tarikh sebutan kedua kes berkenaan pada 17 April depan bagi mendapatkan kemas kini tuntutan kedua-dua belah pihak.
Menurut peguam yang mewakili Adam, pihak Fatin Afeefa telah memfailkan bantahan untuk pindaan permohonan pindaan yang difailkan Adam sebelum ini.
“Hari ini sebutan kes pertama dan pihak kita sebenarnya memohon untuk membuat pindaan (hak lawatan) kepada yang telah difailkan sebelum ini iaitu tuntutan hak penjagaan penuh.
“Namun, pihak defendan membuat bantahan dan kami diarahkan untuk memfailkan pindaan secara bertulis,” kata peguam, Liyana kepada Kosmo! Online.
Tambah Liyana lagi, Adam telah memfailkan tuntutan hak penjagaan penuh anaknya daripada bekas isteri. Pihaknya juga sedang dalam usaha memfailkan perintah hak jagaan sementara yang membolehkan Adam bertemu dengan anak perempuannya.
Dalam pada lain, Adam Shaz dikatakan sudah empat bulan tidak bertemu dengan anak perempuannya, dan kali terakhir adalah pada Oktober tahun lalu.
Sumber: Kosmo! Online