Pernah Hampir Putus Asa Jadi Penyanyi, Ernie Zakri Pegang Nasihat Ibu

Siapa sangka penyanyi, Ernie Zakri pernah hampir berputus asa untuk menjadi seorang penyanyi malah mengakui pernah terdetik untuk mengundurkan diri daripada industri seni.

pernah hampir putus asa jadi penyanyi, ernie zakri pegang nasihat ibu

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, kini berterima kasih kepada ibunya, Rafiaah Mohamed kerana menasihatkan dirinya untuk tidak mengundurkan diri pada ketika itu.

 

"Memang ketika itu keputusan yang sangat muktamad, kalau boleh saya langsung tak nak berdiri di atas pentas. Pada masa itu, saya sudah lapan tahun dalam industri, rasanya sudah hampir 20 lagu ketika itu namun masih tidak diterima.

"Saya penuh dengan perasaan marah dan tidak boleh terima serta hilang rasa percaya pada diri sendiri. Malah, saya rasakan diri juga tidak bagus kerana ditolak berkali-kali.

"Sekali gus membuatkan saya rasa seperti tidak layak untuk berada dalam industri ketika itu.

“Namun, saya bersyukur kerana ibu saya menjadi penguat semangat dan meminta saya untuk tidak berhenti.

"Malah, ibu juga meminta saya meneruskan apa yang saya minat. Tegasnya, apa yang berlaku berbalik pada rezeki. Apabila direnungkan semula, saya bersyukur kerana mendengar kata ibu saya. Kalau tidak, mungkin saya tidak berada di sini sehingga ke hari ini," kata Ernie.

pernah hampir putus asa jadi penyanyi, ernie zakri pegang nasihat ibu

Menurut Ernie lagi, sepanjang tempoh lapan tahun itu, beliau sudah mengeluarkan hampir 20 buah lagi namun masih gagal diterima sebagai seorang penyanyi.

 

"Kalau diikutkan saya sudah bermula sejak tahun 2009 dan tampil dengan album pertama pada tahun 2011. Jadi, Aura diibaratkan seperti album kedua saya.

"Sepanjang 12 dan 13 tahun itu, pelbagai kepayahan yang telah saya tempuhi untuk menjadi Ernie Zakri seperti hari ini. Saya menggunakan kembali emosi yang pernah saya lalui itu diterjemahkan dalam lagu," katanya.

 

Untuk info, Ernie selamat menjadi isteri kepada penyanyi, Syamel pada 26 Mac 2021. Pasangan ini juga telah dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Khawla Soleha, yang dilahirkan pada 22 Februari lalu.

 

Sumber: HMetro