Penyanyi, Ernie Zakri enggan mengulas lanjut mengenai isu ‘penyondol’ atau orang ketiga dalam rumahtangga, memandangkan usia perkahwinannya masih lagi dikira baru.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, isu berkenaan adalah perkara berat untuk diulas namun beliau akan sentiasa berada di pihak wanita yang teraniaya.
“Bab sondol menyondol adalah satu perkara isu berat dan pastinya saya akan menyebelahi wanita yang menjadi mangsa.
“Namun, saya tetap tak boleh nak ulas lanjut sebab tidak memahami situasi dan berada di tempat mereka.
“Saya dan Syamel baru berkahwin selama tiga tahun, sebab itu tidak boleh komen isu sondol menyondol itu.
“Apapun, perkahwinan bukan setakat tentang komunikasi tetapi juga saling melengkapi.
“Kalau tidak pandai masak, usahalah. Tonton YouTube dan cuba. Jika suami suka masak lemak cili api, saya akan usaha untuk lakukannya,” kata beliau.
Sementara itu suaminya, Syamel yang juga merupakan penyanyi berkata isu penyondol rumahtangga ini adalah perkara sensitif yang turut memberi kesan terhadap emosinya setiap kali ia diperkatakan di media sosial.
“Melihat semua yang berlaku, kami pun takut setiap kali keluar isu begitu sebab melibatkan lelaki dan perempuan.
“Jadi, kami sentiasa ambil pengajaran agar tak terjurumus ke arah itu. Apabila baca terus kami beringat dan berdoa benda yang baik-baik sahaja,” kata Syamel.
Terdahulu, seorang pemuzik yang dikenali sebagai Anwar Amzah mendakwa dirinya menjalin hubungan sulit bersama Ernie, namun Ernie menafikan sekerasnya dakwaan itu dan mendakwa dia sudah lama diganggu individu terbabit di media sosial.
Sumber: HIB Glam