Baru-baru ini, penyanyi, Ella, terkejut apabila mendapati akaun Facebook miliknya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kejadian berlaku pada 27 Julai lalu selepas pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 58, mendapati terdapat beberapa hantaran tidak senonoh dibuat menerusi akaun Facebook milik beliau.
Ella bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya beliau sengaja melakukan hantaran seperti itu sebagai gimik. Ujarnya, tindakan pengodam itu boleh memberikan kesan buruk kepada dirinya sendiri.
“Saya tak rancang untuk buat gimik. Saya rasa ia satu perbuatan yang tidak elok dan boleh memberikan kesan,” kata Ratu Rock negara ini.
Susulan daripada pengodaman itu, Ella telah membuat laporan polis di IPD Sungai Buloh, Selangor pada hari kejadian.
Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mendapatkan semula akaun tersebut.
Ella juga mencabar individu yang menggodam akaun Facebooknya untuk hadir ke konsertnya pada 28 Oktober ini di Pulau Pinang.
“Saya cabar orang itu (penggodam) untuk datang ke konsert saya. Saya tak takut kerana kita ada kawalan keselamatan yang baik,” ujar Ella.
Terdahulu, Ella telah mengejutkan orang ramai apabila bertindak memadam semua gambar di Instagram. Namun, ia adalah gimik semata-mata sempena dengan konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak lama lagi.
Sumber: Mstar