Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan mengakui tidak sabar untuk menimang cahaya mata pertamanya tahun ini memandangkan usianya yang juga semakin meningkat.
Beliau yang mesra dengan panggilan nama Lizzy, 30, sudah tiba masanya untuk dia dan suami, Dr Siew Jim, yang dikahwininya tahun lalu untuk menimang anak.
"Tahun ini, saya dan suami cuba untuk dapatkan 'baby' (anak). 'I cannot wait' (saya tak boleh tunggu). Saya dah tak sabar nak jadi seorang ibu. Dah dua tahun pun kami berkahwin.
"Apabila saya hamil dan kami ada anak nanti, bolehlah tinggal bersama kerana dia (suami) kena tolong saya jaga anak juga. Tapi, sekarang kami masih tinggal berasingan," katanya.
Ujarnya dalam seminggu mungkin empat ke lima hari suaminya itu akan datang ke rumahnya mengikut rutin yang sudah terbiasa dilakukan.
Tambah Lizzy lagi, meskipun beliau dan suami dilihat romantis di media sosial, ada kalanya mereka akan berbalah sama seperti pasangan lain juga.
"Apa yang dipaparkan di Instagram itu tak boleh percaya. Mana ada kami bahagia saja sepanjang masa. Kami pun sama macam pasangan lain, sering bergaduh juga.
"Orang tengok kami manis apa semua, tapi di belakang kami pun pernah bergaduh besar sebab salah faham. Banyak kali juga gaduh teruk, tapi biasalah masalah dalam rumah tangga," katanya.
Memiliki wajah yang kacak dan bertugas di hospital, Lizzy berkata beliau tidak cemburu dan tidak mengongkong suaminya, namun sering menghubungi dan mengirim mesej.
Elizabeth Tan dan Dr Siew Jim berkahwin pada 20 Mac 2021 dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat.
Sumber: HMetro