Beberapa hari lalu, kecoh di media sosial selepas seorang pengacara wanita didapati tidak pandai menyiang ikan, dalam sebuah program bual bicara tempatan. Perkara itu menjadi perbualan hangat di media sosial, termasuk ada yang mempertikaikan kecantikan rupa paras seseorang dengan kemahirannya memasak di dapur.
Pun begitu, adik adik pelakon, Elisya Sandha, 25, dan kakaknya, Fasha Sandha, 40, kedua mereka dilihat tidak kekok langsung membuat kerja dapur seperti memasak untuk keluarga, sekalipun tampil cantik dan bergaya.
Menurut Elisya, beliau akui suka memasak sejak daripada sebelum kahwin kerana tinggal sendirian, menjadikannya wanita berdikari dalam menguruskan kehidupan harian.
"Apabila memilih hidup berdikari tanpa ibu bapa dan adik-beradik lain di sisi, banyak perkara kena buat sendiri, termasuk kerja rumah dan kerja dapur. Ditambah saya juga suka masak dan kebanyakan resepi belajar dari Google dan YouTube.
"Malah, dari dulu lagi saya pun suka tengok emak memasak di dapur. Walaupun saya tak belajar resepi itu dengan mak dan hanya tengok saja, tapi apabila sudah besar saya cuba belajar memasaknya sendiri," katanya.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, beliau akui banyak belajar memasak dengan ibu mentuanya, Sheila Rusly.
Menjengah ke media sosial Elisya, rata-rata warganet dilihat memuji kemahirannya dalam memasak dan menguruskan rumah tangga, disamping terus mengekalkan kecantikkan wajah dan tubuh badan.
Sumber: HMetro