Selepas kejayaan beberapa filem tempatan termasuklah filem animasi dipawagam tanah air, kini tiba masanya untuk giliran Didi & Friends!
Tampil dengan filem pertama mereka, Didi & Friends The Movie terbitan Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama MDEC, filem ini pasti menjanjikan animasi yang bukan sahaja menarik minat kanak-kanak, malah golongan penonton dewasa juga.
Bertambah menarik, beberapa watak baru telah diperkenalkan yang penampilkan pelakon suara daripada selebriti terkemuka tanah air seperti Dato’ Awie sebagai Tok Chip, Amelia Henderson sebagai Kapten Zoey, Waris sebagai Torra dan Ruminah Sidek sebagai Nek Kura di samping barisan pelakon suara watak asal Didi, Nana, Jojo, Pak Atan, Pak Beruang dan lain-lain.
Didi & Friends the Movie mengisahkan keterujaan Didi bertukar menjadi kekecewaan apabila Pak Atan melarangnya mengikuti pengembaraannya dan tinggal di Pekan Horey bersama rakan-rakannya yang lain. Pak Atan & Pak Beruang terpaksa pergi ke Dunia Muzika untuk mencari penawar ajaib bagi mengubati Pak Beruang yang tiba-tiba sakit. Didi berdegil dan akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke Dunia Muzika seorang diri. Tetapi Nana dan Jojo mempersoalkan keputusan Didi untuk pergi sendiri dan kemudian mereka juga menyertainya. Berbagai cabaran menanti mereka di dalam Dunia Muzika, termasuk bahaya besar berdepan dengan lanun langit yang menakutkan bernama Torra.
Siapakah Torra? Apakah penyakit yang dihadapi oleh Pak Beruang? Dapatkah Didi, Nana dan Jojo mendapatkan penawar tersebut? Jawapannya di pawagam pada 23 Februari 2023.