Pelakon Diana Danielle berkata beliau enggan terlalu gembira walaupun isu rumah tangga dengan suaminya, Farid Kamil, akan menemui jalan penyelesaian pada Khamis ini.
Pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 32, berharap keputusan yang akan dibuat nanti akan berakhir dengan baik tanpa ada sebarang permusuhan.
"Saya hanya akan lega kalau betul-betul berakhir. Sekarang, saya masih dalam keadaan menunggu keputusan dan insya-Allah, saya mahu bersangka baik.
"Saya mahukan pengakhiran yang aman untuk kami kekal hubungan baik demi anak-anak dan silaturahim antara kami.
"Saya berdoa semoga kami capai kata sepakat. diikuti penamat yang baik. Apapun saya kena bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku," katanya.
Pelakon filem Imaginur ini turut berharap agar krisis rumah tangganya dapat diatasi dengan segera kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak.
"Nak kata berdebar tunggu keputusan tidaklah sangat. Cuma, perkara ini membabitkan keluarga. Ia juga memberi impak kerana membabitkan perasaan dan masa depan.
"Disebabkan itu, kami perlu meletakkan isu konflik rumah tangga ini sebagai sesuatu yang serius.
"Saya tak mahu terlalu banyak memberi kenyataan kerana Farid tiada hari ini," jelasnya lagi.
Terdahulu, konflik rumah tangga penceraian pasangan itu akan diumumkan pada Khamis ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, seperti yang telah difailkan oleh Diana pada 10 Mac yang lalu.
Berdasarkan laporan media, alasan Diana mahu bercerai adalah kerana tiada persefahaman, berlaku perbalahan berpanjangan, dan tidak mampu lagi untuk hidup bersama sebagai suami isteri.
Namun, Farid dikatakan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya itu dan berusaha untuk menyelamatkan hubungan mereka.
Disebabkan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof, telah memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Untuk rekod, Farid dan Diana telah bernikah pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang anak, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Sumber: BH