Baru-baru ini, warganet meluahkan rasa bimbang apabila melihat penampilan terkini penyanyi, Dayang Nurfaizah yang kelihatan kurus dan cengkung.
Pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, bagaimanapun tidak melatah dan tampil menjelaskan keadaan fizikal terkininya adalah disebabkan konsisten aktif bersenam serta menjaga kuantiti pemakanan.
“Kalau boleh saya minta kepada orang ramai, kalau betul sayang saya, janganlah komen tanya sama ada saya sakit, sebab itu macam satu doa.
“Alhamdulillah sihat sahaja. Cuma saya memang nak cantik dan kekal bertenaga. Contoh kalau ada konsert atau persiapan album memang saya akan diet tapi saya makan apa saja dan lepas itu saya bersenam.
“Itu memang cara saya dan berat saya 45-kilogram (kg) pun normal dengan tinggi saya. Saya juga melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.
Dayang dalam pada itu berkata, beliau juga manusia biasa yang tidak lari daripada membuat kesilapan khasnya ketika membuat persembahan pentas.
“Setiap penyanyi akan melalui fasa tertentu, begitu juga saya. Saya berterima kasih kepada peminat yang ambil berat tentang keadaan vokal saya. Jujurnya saya juga risau namun suara saya tiada masalah.
“Tak ada penyanyi masa menyanyi tidak mahu melakukan yang terbaik. Vokal ini macam otot, kalau terlebih guna akan terjejas namun saya akan kawal dengan jumpa doktor.
“Saya manusia, meskipun sudah berpuluh tahun menyanyi, akan ada masa yang tidak okey dan situasi itu berlaku pada malam AJL tempoh hari,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dayang turut menjadi tetamu jemputan pada podcast terbaharu di SYOK, Muzik Roundtable, dan beliau berkongsikan tentang susah senang bergelar seorang penyanyi.
Sumber: Kosmo! / Youtube