Aplikasi MySejahtera telah digunakan rakyat Malaysia untuk memudahkan proses pengesanan kontak dan juga sebagai medium untuk melancarkan proses imunisasi COVID-19.
Aplikasi ini telah menerima beberapa penambahbaikan, termasuklah proses daftar masuk pengguna pada skrin yang bukan hanya menunjukkan status risiko COVID-19, malah status vaksinasi mereka.
Pada penambahbaikan itu juga, terdapat fungsi ‘Check-out’, dimana pengguna boleh menekan pada tab di bahagian bawah, sebagai tanda sudah keluar meninggalkan mana-mana lokasi atau premis yang dimasuki. Dengan itu, pengesanan kontak boleh dilakukan dengan lebih tepat merujuk kepada masa daftar masuk dan keluar individu pada MySejahtera.
Namun, wujud dakwaan yang menyatakan seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM1,500 jika tidak mendaftar keluar pada aplikasi MySejahtera, sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. Dakwaan itu telah disahkan TIDAK BENAR oleh Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan.
“Tiada denda RM1500 jika tidak “check-out” dalam MySejahtera sebagaimana yang dinyatakan dalam grafik tersebut.
"Orang ramai disaran agar tidak berkongsi maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam masyarakat," menurut kenyataan itu.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa membuat semakan menerusi media sosial rasmi KKM dan MKN untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini khasnya berhubung COVID-19.
Sumber: [1], [2]